Rancangan Fizikal Negara
- Jumlah paparan: 8653
PENGENALAN
Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172) merupakan asas perundangan di dalam penyediaan Rancangan Fizikal Negara. Bagi memastikan kesesuaian dan perubahan dengan keperluan semasa, Sub-Seksyen 6B (4) Akta 172 menetapkan keperluan RFN untuk dikaji semula setiap lima tahun selaras dengan Kajian Semula Rancangan Malaysia LimaTahun, atau apabila diarahkan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).
RFN Ke-3 mengambil pendekatan tidak membentuk dasar-dasar perancangan spatial baharu, setelah 10 tahun pelaksanaan RFN yang melalui dua (2) kali proses kajian semula. Sebaliknya, dasar-dasar sedia ada diperkemas dan diperincikan dalam bentuk hala tuju strategik dan strategi serta tindakan pelaksanaan bagi memantapkan pelaksanaan dasar-dasar sedia ada. Di samping itu, dasar-dasar sektoral dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, alam sekitar dan sosial turut diterapkan dalam cadangan hala tuju strategik RFN Ke-3.
Penekanan hubung kait aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar sebagai komponen utama pembangunan mampan dalam satu ekosistem yang lengkap memperlihatkan fokus RFN Ke-3 kepada tiga (3) teras utama iaitu Pertumbuhan Dinamik Bandar dan Luar Bandar, Kemampanan Spatial dan Daya Tahan Terhadap Perubahan Iklim dan Pembangunan Komuniti Inklusif dan Berdaya Huni.
Sehubungan dengan itu, RFN Ke-3 menekankan kepada pembangunan dan perancangan yang mampan sebagai prinsip utama dalam mencapai sebuah negara yang berdaya tahan dan berdaya huni pada tahun 2040. Perancangan fizikal dan spatial akan menjurus kepada keterangkuman fokus utama iaitu Pertumbuhan (Growth), DayaTahan (Resiliency), Daya Huni (Liveability) dan Kemampanan (Sustainability).
MATLAMAT
Membentuk Negara yang Berdaya Tahan dan Berdaya Huni
TERAS
Mengandungi 3 (tiga) teras dan mempunyai hala tuju-hala tuju strategik seperti berikut:-
Teras 1 (PD) : Pertumbuhan Dinamik Bandar dan Luar Bandar
PD 1 - Pertumbuhan Bandar yang Seimbang
PD 2 - Pembangunan Luar Bandar yang Bersepadu
PD 3 – Hubungan dan Akses yang Dipertingkatkan
Teras 2 (KD) : Kemampanan Spatial dan Daya Tahan terhadap Perubahan Iklim
KD 1 – Pengurusan Mampan Sumber Asli, Sumber Makanan dan Sumber Warisan
KD 2 - Perancangan Guna Tanah Holistik
KD 3 - Bandar Rendah Karbon dan Infrastruktur Mampan
Teras 3 (KI) : Pembentukan Komuniti Inklusif dan Berdaya Huni
KI 1 – Persekitaran Kehidupan Lengkap dan Berkualiti
KI 2 – Persekitaran Komuniti Berdaya Huni
KI 3 – Keterlibatan dan Kolaborasi Komuniti