Perihal Jabatan

Perancangan Bandar dan Desa merupakan satu perkara dalam senarai Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tanggungjawab bersama Kerjaan Persekutuan dan Negeri. Di peringkat Persekutuan, Ibu Pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diletak di bawah portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Peranan utama jabatan ini adalah untuk memberi nasihat kepada Menteri yang akan bertanggungjawab pula kepada Parlimen dalam semua hal yang berkaitan dengan perancangan bandar dan desa di seluruh negara.

Di peringkat Negeri pula, peranan utama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri adalah sebagai penasihat utama kepada Kerajaan Negeri mengenai setiap bidang yang berkaitan dengan penggunaan dan pemajuan tanah.

Perkhidmatan perancangan bandar dan desa bagi Negeri Kelantan bermula pada 10 Disember 1962. Pejabat Perancang Bandar dan Kampung dibuka di Kota Bharu yang terletak di Bangunan Majlis Bandaran Kota Bharu.YABrs. En. Ishak Ariffin merupakan pengarah pertama JPBD dengan kakitangan seramai 4 orang. Perkhidmatan meliputi negeri Kelantan dan Terengganu.

Pada 1 Januari 1970, Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Kelantan telah dipisahkan dengan negeri Terengganu dan hanya tertumpu seluruh Kelantan sahaja.

Pejabat Perancang Bandar dan Kampung telah ditukar nama sebagai Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) negeri Kelantan pada tahun 1977.

Pada tahun 1979, jabatan ini telah diarahkan berpindah ke Wisma Persekutuan di Jalan Bayam dengan jumlah kakitangan seramai 38 orang dan En. Dzulkifli b. Ahmad adalah sebagai Pengarah. Tahun ini juga, Majlis Perbandaran Kota Bharu telah menubuhkan Jabatan Perancang Bandarnya sendiri yang mana memberikan perkhidmatan perancangan dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu sahaja.

Pada bulan April 1987, JPBD sekali lagi telah berpindah ke Blok 4, Kompleks Kota Darulnaim. Pejabat ini terletak di dalam kompleks pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada 10 Mei 2019, JPBD Kelantan telah berpindah ke Blok 6, Aras Atas Kompleks Kota Darulnaim. Sehingga Februari 2021 jumlah kakitangan adalah seramai 51 orang dan diketuai oleh TPr. Tuan Haji Hassan bin Yaakob sebagai Pengarah JPBD Negeri Kelantan.